Umrah Mekah & Madinah

Saya berasa amat bertuah kerana berpeluang untuk melakukan ibadah umrah untuk dua kali bersama keluarga saya yang tersayang. Umrah pertama saya jatuh pada Musim Panas pada bulan Jun tahun 2013. Umrah kedua saya pula jatuh pada Musim Sejuk pada bulan Disember tahun 2014.

Umrah 2014 saya lebih istimewa. Pada umrah 2013, saya hanya pergi bersama ibubapa dan datuk saya manakala pula Umrah 2014 dilakukan bukan hanya dengan keluarga saya tetapi juga dengan sepupu, pakcik dan makcik saya.

Berikutnya, saya akan mengongsikan informasi umrah saya; semoga info di bawah ini akan memanfaatkan kami semua.

Umrah adalah satu kegiatan ibadah dalam agama Islam. Ibadah Umrah bererti melakukan ihram, tawaf, sa'i dan bertahallul mengikut tertib. Perbezaan Umrah dan Haji adalah bahawa Umrah boleh dilakukan sepanjang tahun tetapi Haji hanya boleh dilakukan pada musim haji. Jemaah Haji akan melakukan jamrah (melontar batu) di Mina. Perbuatan ini adalah sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh jemaah Umrah.

MUSIM PANAS VS MUSIM SEJUK

Musim Panas 2013
Musim Sejuk 2014

Walaupun Umrah boleh dilakukan sepanjang tahun, bilangan jemaah yang paling ramai adalah pada bulan Jun dan Disember kerana itu adalah musim cuti sekolah. Musim Haji selalu dilakukan mengikut Kalender Islam. Oleh itu, Musim Haji berubah setiap tahun. Dalam Musim Haji, Umrah tidak dapat dikerjakan.

Musim Panas selalunya berlaku pada bulan April ke Jun manakala Musim Sejuk selalunya berlaku pada bulan Oktober ke Disember. Pada Musim Panas, ramai jemaah sering menggunakan payung untuk berteduh dan memakai kaca mata hitam.

Walaupun saya dapat merasakan panas dan berpeluh-peluh, terutama sekali ketika melakukan tawaf, saya tidak rasa melekit di badan. Tidak seperti cuaca di Singapura, apabila berpeluh-peluh, badan akan rasa melekit dan tidak selesa.

Pada Musim Panas, suhu di Madinah biasanya lebih tinggi daripada Mekah. Pada Musim Sejuk pula, suhu di Madinah lebih rendah daripada Mekah.

Pada Musim Panas, waktu antara Isyak dan Subuh lebih pendek berbanding dengan Musim Sejuk. Oleh itu, kami selalunya berjalan-jalan di kawasan luar masjid selepas waktu Asar pada Musim Panas manakala pula pada Musim Sejuk, kami berjalan-jalan selepas waktu Isyak.

Saya lebih gemar melakukan Umrah pada Musim Panas berbanding Musim Sejuk kerana saya tidak tahan kesejukkan terutama pada waktu Subuh di Musim Sejuk.

MEKAH

Orang Ramai yang masuk ke Masjidil Haram untuk melaksanakan ibadah.
sumber: http///4.bp.blogspot.com/-dcRC5B2BvP4/Tofa5bCYetI/AAAAAAAAD78/ij-FgWC-1FI/s1600/Makkah+Aerial+View+%25286%2529.jpg

Mekah ialah kota yang paling suci bagi umat Islam. Di sini juga terletaknya Masjidil Haram.

Pada masa ini, Masjidil Haram juga sedang dalam proses pembinaan besar-besaran yang dijangka akan selesai pada tahun 2020 mendatang. Objektif peluasan masjid adalah untuk memberi keselesaan pada seluruh umat Islam yang menunaikan Haji atau Umrah, yang bilangannya semakin naik setiap tahun.

Kaabah terletak di tengah-tengah Masjidil Haram iaitu kiblat umat Islam apabila mengerjakan solat dan juga untuk mengerjakan tawaf. Kiblat, merujuk kepada arah Kaabah, yang menjadi arah sembahyang bagi orang Islam.

Semasa saya melihat kaabah untuk kali pertama, saya berasa sangat terharu kerana akhirnya dapat juga melihat kaabah dengan mata saya sendiri. Selama ini saya hanya melihat gambar kaabah dari buku sejarah Islam semasa saya menghadiri kelas madrasah. Perkara pertama yang saya mahu lakukan apabila melihat kaabah ketika itu adalah memanjatkan doa.

umrah

Umrah bererti memakai ihram dan menjatuhkan niat umrah dari Miqat lalu melaksanakan tawaf mengelilingi Ka'bah. Selepas itu, melaksanakan sa'i antara Bukit Safa dan Bukit Marwah dan mengakhiri dengan bertahallul.

Untuk berihram, jemaah lelaki harus memakai dua kain putih yang tidak dijahit atau dicantum. Jemaah wanita pula harus menutup semua anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan. Jemaah yang sedang dalam keadaan berihram juga dilarang untuk memakai wangi-wangian sama ada di badan, rambut, janggut dan sebagainya.

Selepas menjatuhkan niat di Miqat, jemaah umrah harus menuju ke Mekah untuk melakukan tawaf dan sa'i. Selepas mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan, jemaah melakukan solat sunat untuk melengkapkan tawaf.

Kawasan Tawaf 2013 vs Kawasan Tawaf 2014

Pada tahun 2013, kawasan tawaf begitu sempit dengan adanya pembinaan tiang-tiang mataf. Perasaan saya pada waktu itu tidak dapat dijelaskan kerana walaupun kelihatan terlalu ramai jemaah melakukan tawaf, saya tetap dapat menghabiskan tawaf dengan selesanya.

Pada suatu ketika, saya dan ibu saya terpisah dengan ayah dan datuk saya semasa bertawaf. Walaupun begitu, kami dapat menghubungi mereka menggunakan telefon bimbit kami. Oleh itu, saya menggalakkan jemaah untuk membeli kad prepaid supaya jika ada kecemasan, mereka akan senang dihubungi.

Pada tahun 2014, kawasan di dalam masjid berlainan sedikit kerana mataf telah dibina mengelilingi kaabah untuk jemaah melakukan tawaf. Namun begitu, mataf ini bukan untuk selamanya. Saya dapat melakukan tawaf pada ketiga-tiga aras mataf. Saya paling suka melakukan tawaf pada aras yang tertinggi pada waktu Maghrib kerana suasananya begitu nyaman. Saya dapat melihat padangan yang indah ketika melakukan tawaf di aras itu.

Ketika melakukan umrah, selepas bertawaf, jemaah harus menuju ke kawasan Sa'i. Sa'i adalah perbuatan berjalan antara Bukit Safa dan Bukit Marwah selama tujuh kali; bermula di Bukit Safa dan diakhiri di Bukit Marwah. Jemaah lelaki digalakkan 'berlari-lari anak' di kawasan lampu hijau. Bagi jemaah yang kurang berupaya, mereka boleh menyewa skuter atau kerusi roda.

Semasa melakukan sa'i, saya berasa lebih penat berbanding melakukan tawaf. Namun begitu, saya berasa bermotivasi apabila melihat datuk saya, yang berumur 79 tahun, berjalan lebih cepat daripada saya. Tanpa disedari, saya dapat menghabiskan tujuh pusingan sa'i walaupun mengambil masa lebih lama daripada datuk saya.

Selesainya melakukan sa'i, perkara terakhir yang harus dilakukan adalah bertahallulBagi jemaah lelaki, mereka harus mencukur seluruh atau sebahagian rambut kepala manakala pula jemaah wanita harus memotong rambut sebatas hujung jari.

Dengan ini, selesainya umrah dan jemaah bebas dari segala larangan dalam ihram.

Masjidil Haram, masjid yang paling suci di dunia.
Mekah Clock Tower

Tempat-tempat bersejarah di mekah

Ladang Unta

Ladang Unta terletak beberapa kilo meter dari kota Mekah. Jemaah boleh membeli susu unta yang segar di situ. Setelah merasa susu unta yang segar, saya lebih suka meminum susu unta yang dibeli dari supermarket Bin Dawood.

Masjid Hudaibiyah

Hudaibiyah merupakan kota yang berada di sekitar 26km dari Masjidil Haram. Saat ini, kawasan tersebut juga dikenal sebagai daerah perbatasan Tanah Haram sehingga sering dijadikan tempat Miqat umat Islam yang melaksanakan ibadah haji atau umrah.

Nama Hudaibiyah diambil dari nama telaga, yang juga dikenal dengan sebutan telaga Asy-Syumaisi. Sejarah Islam menyebutkan, Hudaibiyah menjadi pintu masuk kecemerlangan kaum Muslimin dalam menaklukkan kota Mekah. Di kota ini, Rasulullah s.a.w. dan kaum Quraisy Mekah membuat perjanjian untuk saling tidak menyerang, yang kemudian membuka peluang umat Islam Madinah untuk mengislamkan pendudukan kota Mekah.

Masjid Tanaeem

Masjid Tanaeem, juga dikenali sebagai Masjid Aisha, di mana Ummul-Mu'mineen Aisha menjatuhkan niat Umrah apabila Nabi Muhammad s.a.w. memberitahunya berbuat demikian. Masjid ini terletak 7.5km selatan dari Mekah dan ia adalah Miqat yang terdekat dengan kota Mekah.

Pada tahun 2014, kami sering melakukan umrah sendiri tanpa jemaah yang lain dengan menjatuhkan niat umrah dari Masjid Tanaeem. Untuk ke sana, kami menaiki teksi dari kawasan luar hotel.

Oleh kerana pemandu teksi di Mekah hanya boleh berkomunikasi dengan bahasa Arab dan kami tidak pandai berbahasa Arab; dengan hanya menyebut perkataan Tanaeem, pemandu teksi memahami bahawa dia harus membawa kami ke Masjid Tanaeem dan membawa kami pulang ke Masjidil Haram.

Jabal Thawr

Jabal Thawr, juga sinonim dengan sebuah gua yang digelar Ghar al-Thawr. Di sinilah Nabi Muhammad s.a.w. dan Saidina Abu Bakar menyorok atas perintah Allah daripada ancaman pembesar Bani Quraisy. Peristiwa ini berlaku ketika baginda sedang dalam perjalanan Hijrah ke Madinah.

Pintu timur Jabal Thawr tingginya 1.25m, manakala lebar pintu guanya adalah 3.5m X 3.5m. Gua tersebut memiliki 2 pintu iaitu disebelah barat dan sebelah timur. Pintu disebelah baratlah yang digunakan Nabi Muhammad s.a.w. dan Saidina Abu Bakar untuk masuk. Pintu gua barat tingginya hanya 1m sekaligus lebih kecil dari pintu timur. Pintu timur hanya baru dikorek bagi membolehkan pelawat masuk dan melihat keadaan gua. Pelawat yang berhasrat masuk ke Jabal Thawr harus mendaki sampai ke pintu gua, dakian memakan masa 1 jam setengah atau lebih bergantung kepada kekuatan stamina.

Jabal Rahmah

Jabal Arafah ialah sebuah bukit berbatu granit yang terletak di sebelah timur Mekah. Ia juga dikenali sebagai Jabal Ar-Rahmah. Menurut tradisi Islam, di puncak bukit inilah Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan pesanan atau khutbah terakhir baginda kepada seluruh Muslim yang menunaikan ibadah Haji bersama baginda sebelum baginda meninggal dunia. Mengikut sejarah tradisi Islam juga dipuncak bukit inilah dimana Nabi Adam a.s. dan Hawa bertemu kembali di bumi selepas diperintah Allah turun ke bumi. Ketinggian Jabal Ar-Rahmah adalah kira-kira 70m.

Pada tahun 2013, saya berasa sangat bertuah kerana dapat menaiki ke Jabal Rahmah bersama bapa saya. Di puncak bukit itu, saya dapat melihat permandangan yang cantik dan luas. Pada tahun 2014, saya tidak berpeluang untuk menaiki Jabal Rahmah lagi kerana kesuntukkan masa.

Mina

Mina merupakan sebuah lembah padang pasir yang terletak sekitar 5km dari kota Mekah. Mina paling dikenali sebagai tempat pelaksanaan ibadat melontar jamrah dalam ibadah haji. Selain itu, di Mina juga terdapat tanda-tanda yang menjadi tempat penginapan bagi ratusan ribu jemaah Haji.

Di sini terdapat tugu jamrah, iaitu tempat pelaksanaan ibadat melontarkan batu ke arah tugu jamrah sebagai simbolisasi tindakan Nabi Ibrahim a.s. ketika mengusir syaitan yang cuba menganggu baginda menjalankan ibadah qurban iaitu menyembelih putera kesayangannya sendiri iaitu Nabi Ismail a.s.. Di sini terdapat tiga tugu yang digunakan untuk ibadat melontar iaitu Jamratul Aqabah, Jamratul Ula, dan Jamratul Wustha. Di tempat ini jemaah Haji diwajibkan untuk bermalam ketika musim haji berlangsung dalam bulan Zulhijjah.

Masjid Ja'ranah

Ja'ranah adalah nama seorang wanita yang mengabdikan dirinya untuk membersihkan dan menjaga masjid tersebut. Dia seorang wanita Quraisy dari Bani Tim. Rasulullah s.a.w. pernah bermiqat di sini untuk mengerjakan umrah setelah pulang dari peperangan Hunain. Ja'ranah merupakan Miqat paling tinggi derajatnya dibanding Miqat yang lain.

Jabal Nur

Disebelah utara Masjidil Haram lebih kurang 6 km, terdapat sebuah gunung yang dikenali sebagai Jabal Nur. Tinggi puncak Jabal Nur kira-kira 200m, di sekelilingnya terdapat sejumlah gunung, batu bukit dan jurang. Kira-kira 5m dari puncak gunung, terdapat sebuah lubang kecil. Itulah yang disebut Gua Hira, di mana Nabi Muhammad s.a.w. mendapat wahyu pertamanya.

Jabal Nur dan Gua Hira ini sangat penting dalam sejarah Islam kerana di gua inilah Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu yang pertama iaitu surat Al'Alaq dari ayat 1 hingga 5.

Walaupun saya telah pergi ke umrah dua kali, saya belum pernah mendaki Jabal Nur. Saya berharap jika saya diberi peluang untuk melakukan umrah lagi, saya mahu menaiki Jabal Nur dan memasuki Gua Hira.

madinah

sumber: https://media.holidayme.com/wp-content/uploads/2015/12/10183211/shutterstock_56033224.jpg

Madinah ialah kota paling suci yang kedua bagi umat Islam. Ini kerana di Madinah terletaknya Masjid Nabawi yang mana terdapat makam Nabi Muhammad s.a.w.. Kawasan itu dibina di atas tapak rumah Nabi Muhammad s.a.w..

Rumah baginda kemudiannnya menjadi sebahagian daripada bangunan masjid apabila masjid itu diperbesarkan oleh Khalifah Al Walid ibni Abdul Malik daripada Kerajaan Ummaiyyah.

Masjid ini asalnya dibina oleh Rasullullah s.a.w. sendiri, bersebelahan dengan rumah yang baginda diami selepas peristiwa Hijrah pada tahun 622 Masihi. Masjid pertama yang didirikan oleh Rasullullah s.a.w. semasa peristiwa Hijrah ialah Masjid Quba.

Setiap kali saya ke Masjid Nabawi, saya menanti-menanti akan matahari terbit, payung-payung besar di luar kawasan masjid untuk terbuka, bumbung luncur di dalam masjid dan Raudhah.

Setiap kali selepas waktu Subuh, saya akan ke luar kawasan masjid untuk melihat matahari terbit. Matahari terbit di sana sungguh menakjubkan.

Ada beberapa bumbung di Masjid Nabawi yang boleh meluncur buka dan tutup. Hiasan bumbung itu sungguh mewah dan cantik. Saya tidak pasti waktu-waktu bumbung ini meluncur buka atau tutup tetapi saya selalu terpesona apabila melihat bumbung itu meluncur buka dan tutup.

Terdapat juga payung-payung besar di luar kawasan Masjid Nabawi. Payung-payung ini secara automatik terbuka awal hari sebelum azan subuh, dan tertutup ketika senja menjelang azan maghrib. Sayangnya, saya tidak pernah dapat melihat proses payung-payung itu tertutup tetapi saya beruntung dapat melihat payung-payung itu terbuka secara automatik. Sungguh mempesonakan.

Raudhah

Di dalam Masjid Nabawi terdapat satu kawasan yang digelar Raudhah, iaitu satu tempat yang sangat mulia di dalam Masjid Nabawi. Selain menjadi lokasi Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya beribadah, ia juga merupakan taman syurga berdasarkan hadis Nabi.

Kedudukan Raudhah adalah di antara rumah Rasulullah s.a.w. dan Sayyidatina Aisyah RA dengan mimbarnya. Panjangnya ialah 26m jika diukur dari timur bermula dari rumah tersebut hingga ke mimbar di sebelah baratnya. Tetapi sekarang hanya tinggal 22m kerana telah disekat dengan pagar makam. Lebarnya pula 15m bermula dari Mihrab Rasulullah s.a.w. di sebelah selatan hingga ke akhir rumah tersebut di sebelah utara mengikut pendapat yang masyhur di kalangan ulama’. Sebagai tanda, tempat ini dihampari dengan karpet berwarna hijau.

Jemaah lelaki boleh memasuki kawasan Raudhah bila-bila masa tetapi jemaah wanita hanya boleh memasuki Raudhah pada waktu-waktu yang tertentu.

Semasa saya memasuki kawasan Raudhah, saya mendapati bahawa tempat itu penuh sesak dengan jemaah wanita. Walaupun ramai jemaah menolak antara satu sama lain, saya rasa bersyukur kerana berpeluang untuk solat sunat di dalam kawasan itu.

tempat-tempat bersejarah di madinah

Masjid Quba
Barang sesiapa yang menyucikan dirinya dari rumah dan solat di masjid quba; pahalanya seperti 1 umrah.

Masjid Quba adalah masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah s.a.w. pada tahun 1 Hijriyah; sekitar 5 km di sebelah tenggara kota Madinah. Masjid Quba telah beberapa kali mengalami pengubahsuaian. Masjid Quba ini telah diubahsuai dan diperluaskan pada masa Raja Fahd ibn Abdul Aziz pada 1986. Khalifah Umar bin Abdul Aziz adalah orang pertama yang membina menara masjid ini. Sekarang, pengubahsuaian masjid ini ditangani oleh keluarga Saud. Pengubahsuaian dan peluasan ini menelan kos sebanyak 90 juta riyal yang membuat masjid ini mempunyai daya tampung hingga 20 ribu jemaah.

Jabal Uhud

Jabal Uhud adalah sebuah gunung di utara Madinah dengan ketinggian kira-kira 350m. Jabal Uhud terbentuk daripada batu granit warna merah memanjang dari tenggara ke barat laut dengan panjang 7km dan lebar hampir 3km. Gunung ini adalah gunung yang terbesar dan tertinggi di Madinah. Di kaki gunung bahagian selatan, terdapat perkuburan para syuhada, salah satunya adalah Hamzah bin Abdul-Muttalib bapa saudara dan saudara sesusuan Nabi Muhammad s.a.w..

Gunung ini adalah lokasi Perang Uhud. Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu, 7 Syawal antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy. Perang Uhud adalah pelantar untuk orang Quraisy membalas dendam terhadap kekalahan mereka ketika Perang Badar. Perang ini dinamakan Perang Uhud kerana ia berlaku di sebuah tempat yang dikelilingi Bukit Uhud.

Jabal Rumah

Jabal Rumah adalah sebuah gunung kecil berdekatan dengan Jabal Uhud di mana Rasulullah s.a.w. telah mengarah pemanah-pemanah semasa Pertempuran Uhud dengan arahan tegas untuk tidak bergerak.

Pada perang ini, umat Islam yang awalnya mendapatkan kemenangan harus menderita kekalahan kerana silau oleh harta yang ditinggalkan lawannya. Mereka tidak mendengarkan nasihat Rasulullah s.a.w. untuk menjaga posisi dan memilih untuk mengambil harta sisa kaum kafir yang kalah. Mendengar itu, kaum kafir lalu menyerang umat Islam yang tengah lengah kerana harta, dan kaum muslimin akhirnya menderita kekalahan.

Setelah mendengar sejarah Perang Uhud dan Jabal Rumah daripada Ustaz, saya belajar bahawa dalam kehidupan, kami tidak boleh tamak. Melihat kanak-kanak sebaya saya yang menjual air di kawasan situ, saya berasa begitu bertuah kerana dapat pergi ke sekolah dan memberi sepenuh perhatian kepada pelajaran.

Masjid Qiblatain

Masjid Qiblatain di jalan Khalid bin Al Walid, barat laut Kota Madinah adalah salah satu daripada tiga masjid paling awal dalam sejarah Islam, selain Masjid Quba dan Masjid Nabawi. Masjid ini dinamakan Masjid Qiblatain kerana di sinilah umat muslim ditentukan arah kiblat solatnya menghadap Kaabah di Masjidil Haram, Mekah.

Dulu, arah kiblat menghadap Baitul Maqdis di Jurusalem, sebelum kiblat ditentukan menghadap Kaabah. Pada masa itu, diriwayatkan Rasulullah s.a.w. sedang menjalankan solat bersama para sahabat. Kemudian turun wahyu Allah yang memerintahkan mengubah arah kiblat ke Kaabah di Mekah. Mendengar perintah langsung itu, Rasulullah s.a.w. pun terus memutar arah solat dari Baitul Maqdis ke Kaabah. Sejak saat itu, arah kiblat umat Muslim pun berubah ke Kaabah di Masjidil Haram, Mekah.

Perkuburan Baqi' Madinah

Baqi’ ialah kawasan perkuburan bagi penduduk Madinah dan sesiapa sahaja yang meninggal dunia di Madinah, termasuk para jemaah haji atau umrah.

Rasulullah s.a.w. sering menziarahi perkuburan Baqi’, baginda mengucapkan salam, berdoa memohon keampunan serta rahmat Allah kepada mereka yang dikebumikan di situ.

Perkuburan Baqi’ terletak di sebelah tenggara (kiri) Masjid Nabawi. Kini ia dilingkungi oleh pagar yang tinggi. Waktu melawatnya ialah selepas solat subuh dan selepas solat asar. Selain waktu itu, pengunjung dibenarkan masuk sewaktu ada jenazah yang hendak dikebumikan. Walaubagaimanapun, kebenaran hanya diberikan kepada kaum lelaki sahaja.

Dengan mengongsi pengalaman saya di sini, perasaan rindu terdetik di hati saya. Saya berharap dan bermohon kepada Allah s.w.t. bahawa kami sekeluarga dapat kembali membuat Umrah lagi.

Sekian

Credits:

Made with Adobe Slate

Make your words and images move.

Get Slate

Report Abuse

If you feel that this video content violates the Adobe Terms of Use, you may report this content by filling out this quick form.

To report a Copyright Violation, please follow Section 17 in the Terms of Use.