Kolonialisme

Definisi dan Konsep

Kolonialisme adalah pengembangan kekuasaan sebuah negara atas wilayah dan manusia di luar batas negaranya, seringkali untuk mencari dominasi ekonomi dari sumber daya, tenaga kerja, dan pasar wilayah tersebut. Istilah ini juga menunjuk kepada suatu himpunan keyakinan yang digunakan untuk melegitimasikan atau mempromosikan sistem ini, terutama kepercayaan bahawa moral dari pengkoloni lebih hebat dibandingkan dengan yang dikolonikan.

Tanah Melayu dan Kolonialisme

Sejarah perkembangan gerakan penjajahan di negara ini telah wujud sejak awal lagi— dilakukan oleh kerajaan atau empayar besar yang terdiri dari negara-negara jiran seperti Srivijaya, Majapahit, Pasai, dan Siam. Bagaimanapun, negara atau empayar yang menawan kawasan-kawasan di Tanah Melayu pada waktu itu tidaklah memberi kesan yang jelas terhadap penguasaan mereka berbanding dengan kuasa barat yang datang kemudian.

Negeri-negeri taklukan Kerajaan Majapahit

Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula dari tahun inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajahan. Selepas itu, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Penjajahan British merupakan penjajahan paling lama. British telah mencampuri semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri. Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan. Beberapa individu bangkit menentang penjajah namun oleh kerana usaha mereka lebih kepada bersifat perseorangan maka penentangan tersebut dengan mudah dipatahkan oleh British. Antara tokoh yang bangun menentang penjajah ialah Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dobi dan beberapa tokoh yang lain.

Pada era 1920-an dan 1930-an, ramai penduduk Tanah Melayu mula mendapat pendidikan, sama ada dari Timur Tengah atau pendidikan tempatan. Hasilnya, muncul golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme. Mereka menggunakan media seperti akhbar dan majalah untuk menyebarkan ideologi masing-masing. Ada dalam kalangan mereka telah membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang bermatlamat mengusir penjajah dan membentuk kerajaan sendiri. Ketika rakyat negara ini begitu bersemangat untuk menamatkan penjajahan, mereka dikejutkan dengan pendaratan Jepun pada penghujung tahun 1941 yang menandakan bermulanya satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu. Jepun telah menduduki Tanah Melayu sehingga tahun 1945 sebelum menyerah kalah ekoran pengeboman Hiroshima dan Nagasaki.

Wang Kertas Pisang yang digunakan oleh Jepun

Pengunduran Jepun telah memberi ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu. PKM telah bertindak ganas dengan membunuh dan memusnahkan harta benda awam dengan sewenangnya sehingga memaksa British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960). Keganasan PKM tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa. Sekembalinya British selepas pendudukan Jepun, mereka cuba memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan ini telah mendapat tentangan yang hebat dan menyeluruh daripada penduduk tempatan. Pada 11 Mei 1946, penubuhan UMNO telah menyemarakkan lagi penentangan tersebut dan seterusnya menyemai bibit-bibit perjuangan ke arah berkerajaan sendiri.

Pada pendapat anda, mengapakah Tanah Melayu amat menarik perhatian kolonialis barat? Tekan butang di bawah dan berikan pendapat anda.

Polisi dan Kesan terhadap Kolonialisme

Para sarjana melihat tindakan-tindakan penjajahan kolonialisme berpunca daripada beberapa faktor. Kebanyakan mereka bersetuju faktor-faktor kedatangan kuasa Eropah ke benua Asia adalah untuk memenuhi inspirasi konsep kolonialisme yang dipengaruhi slogan "Gold, Glory and Gospel". Perry Marvin telah menjelaskan teori kebangkitan kuasa Eropah sebagai kolonialis atau penjajah sebagaimana berikut:

1. Gold (Keperluan kepada tanah)

Hasil kemajuan ilmu pengetahuan di Eropah, lebih-lebih lagi kesan daripada pengaruh tamadun Islam dan Asia telah mempercepatkan perkembangan masyarakat Eropah. Pada masa yang sama juga, sistem pertanian telah berkembang maju, begitu juga dengan sistem kesihatan dan perubatan yang bertambah baik. Faktor kemajuan ini telah menggalakkan lagi jumlah kelahiran dan mengurangkan jumlah kematian, dan telah menambah bilangan penduduk. Akibatnya, wujud masalah iaitu kekurangan pada tanah-tanah untuk didiami dan dikerjakan.

Sementara itu, golongan bangsawan yang banyak menguasai tanah-tanah, mula melihat pilihan yang lain bagi menambahkan hasil kekayaan mereka. Mereka mula melihat penerokaan tanah yang baru di luar negara khususnya di Asia dan Afrika sebagai cara terbaik memenuhi ketamakan mereka. Tidak dapat dinafikan, Asia dan Afrika merupakan kawasan yang kaya dengan sumber ekonomi seperti rempah dan juga galian seperti emas.

Selain itu, Asia juga merupakan pusat tumpuan persinggahan pedagang (seperti di Melaka) antara China dan India. Kesan daripada penambahan hasil keuntungan melalui perdagangan secara langsung membuat para bangsawan ini tamak dan tidak lagi mahu berurus niaga dengan orang tengah. Bagi mereka, adalah lebih baik terus keluar membuat urus niaga secara langsung dengan pihak pemilik sumber asal terutamanya para pedagang Arab dan Asia yang lain.

2. Glory (Permusuhan tradisi di antara negara-negara Eropah)

Penggabungan kuasa Ferdinand The Castille dan Isabella The Aragon di Sepanyol dan perlaksanaan konsep pemusatan kuasa dalam pemerintahan telah berjaya menjatuhkan kerajaan Granada di Andalusia, iaitu kerajaan Islam terakhir di benua Eropah. Faktor ini telah menggalakkan lagi kerajaan Sepanyol yang baru itu untuk meluaskan lagi tanah jajahan mereka. Mereka merasa megah dengan kejayaan penggabungan dan kemakmuran yang dirasai di dalam negeri.

Walau bagaimanapun, Sepanyol kemudiannya merasa bimbang dan iri hati melihat negara jiran mereka, Portugal yang menjadi lebih berjaya daripada mereka menerusi aktiviti penerokaan dunia baru seperti kejayaan Vasco Da Gama, Putera Henry dan Bartholomiew Diaz. Kejayaan Portugal ini dirasakan sebagai satu usaha mendapatkan kelebihan sekaligus menjadi satu ancaman kepada Sepanyol.

Justeru itu, adalah menjadi keperluan Sepanyol untuk mendahului Portugal dalam persaingan mendapatkan tanah jajahan yang baru. Sepanyol ingin menunjukkan bukti kekuatan dan pengaruh mereka sebagai satu kuasa besar, ditambah lagi selepas kejayaan menghancurkan kerajaan Islam terakhir di bumi Sepanyol.

Persaingan yang asalnya adalah untuk memenuhi keperluan hidup dan kekayaan telah bertukar menjadi satu persaingan memburu kemegahan. Kerakusan memburu kemegahan ini kemudiannya disertai pula oleh negara-negara Eropah lain yang turut tidak mahu ketinggalan meletakkan nama mereka sebagai kuasa besar seperti Belanda, Jerman, Perancis dan Britain.

3. Gospel (Agama)

Satu faktor utama yang membantu perkembangan penguasaan kuasa Eropah terhadap kawasan-kawasan di sebelah benua Asia dan Afrika ialah agama. Usaha terhadap pengembangan agama diperkukuhkan oleh legenda dan mitos akan wujudnya kerajaan Kristian di Timur yang diketuai oleh seorang "Messiah" atau "The Great Saviour" atau seorang ‘penyelamat’ bernama Prester John.

Pihak gereja yang mewakili pihak berkuasa agama di negara-negara Eropah yang berlumba-lumba menuju ke benua sebelah timur, percaya akan wujudnya sebuah kerajaan Kristian di situ. Mereka percaya dan yakin apabila ditemui kelak, kerajaan Kristian di benua sebelah timur ini akan dapat bergabung dengan negara-negara Kristian di Eropah untuk mengalahkan kuasa Islam yang pada ketika itu menguasai kebanyakan kawasan di Eropah, Asia dan Afrika.

Perasaan sebegini dapat difahami kuat melekat di hati para peneroka seperti Putera Henry dan juga mereka yang berasal dari kawasan Semenanjung Liberia atau Sepanyol dan Portugal. Selama 500 tahun mereka berjuang untuk mengalahkan dan menjatuhkan Islam sehinggalah musnahnya kerajaan Islam Granada. Perasaan kuat menyokong unsur keagamaan ini amat berkait rapat dengan sistem juga norma-norma kehidupan masyarakat Eropah yang pada ketika itu kuat diikat oleh pengaruh penguasaan gereja terutamanya di Sepanyol dan Portugal.

Lengkapkan peta minda yang diberikan dalam Mindomo dengan menggunakan isi-isi penting daripada petikan di atas. Tekan butang di bawah untuk mengakses laman web Mindomo.

Pengajaran dan Impak Kolonialisme untuk Tanah Melayu
Politik

Aspek pemerintahan dan pentadbiran yang dahulunya diterajui oleh orang tempatan telah diambil oleh penasihat dan pentadbir British. Perubahan dalam bidang pemerintahan oleh pentadbir Barat selari dengan pengenalan sistem perundangan Barat sesuai dengan anggapan mereka bahawa sistem pentadbiran masyarakat peribumi adalah ketinggalan zaman dan tidak sesuai dipraktikkan lagi. Ini dapat dilihat apabila banyak negara Asia Tenggara diperintah melalui secara lansung oleh pihak penjajah melalui sistem birokrasi yang dimonopoli oleh orang Barat. Bagi meningkatkan soal-soal agama dan adat istiadat, pemimpin tempatan dilantik semata-mata bertujuan bahawa, penjajah Barat masih lagi memerlukan dan menghargai kepimpinan mereka. Wujud persaingan antara kuasa-kuasa Barat dalam usaha mereka mendapatkan kawasan tanah jajahan baru lantas persaingan ini dapat diselesaikan dengan menetapkan kawasan pengaruh masing-masing supaya tidak tercetus peperangan di Asia Tenggara.

Ekonomi

Kedatangan kuasa Barat di Asia Tenggara telah merubah keadaan ekonomi negara yang dijajah. Di Tanah Melayu, kegiatan perlombongan dan perladangan getah telah dijalankan secara besar-besaran bagi memenuhi keperluan perkilangan di Britain. Manakala di Indonesia, Belanda telah memperkenalkan beberapa dasar Ekonomi yang hanya menguntungkan mereka seperti Dasar Kultur, Dasar Liberal, dan Dasar Etika. Dasar-dasar ini dilaksanakan dengan penuh muslihat sehingga menjadikan Belanda sebagai satu kuasa Barat yang kaya di Eropah. Tetapi masyarakat peribumi di Indonesia masih lagi mundur ditindas semata-mata untuk kepentingan pihak Belanda.

Bentuk ekonomi masyarakat Asia Tenggara bersifat sara diri telah berubah kepada sektor berorientasikan perdagangan dan eksport dengan pengenalan tanaman baru seperti teh, tebu, kopi, getah dan nenas. Sektor perladangan, perlombongan dan perindustrian juga telah diperkenalkan oleh pemodal Eropah yang mempunyai modal yang banyak. Banyak kawasan perladangan yang besar telah diterokai. Tenaga buruh telah dibawa dari China dan India bagi memenuhi permintaan tenaga buruh yang tidak mencukupi.

Buruh India di ladang getah
Buruh Cina di lombong bijih timah

Masyarakat tempatan tinggal hanya di luar kota. British pula menumpukan pembangunan tanah jajahan mereka hanya di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Manakala Sabah dan Sarawak, British hanya menumpukan perhatian di Bandar-bandar seperti Jesselton, Sandakan, Miri, Sibu dan Kuching. Selain memperkenalkan sistem ekonomi bebas, mereka juga menggalakkan kemasukan orang Cina dan India untuk memajukan negeri-negeri tersebut. Orang-orang Cina umpamanya menggunakan kemahiran teknologi yang diwarisi daripada negeri asalnya seperti pembangunan bangunan (Bandar), melombong dan pertanian. Kemahiran dalam bidang perdagangan memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi di Bandar-bandar dan kawasan-kawasan sekitar;(Samri Sainuddin.:2003:64-65).

Sektor perlombongan bijih timah semakin berkembang pesat dengan pengenalan kaedah baru dalam perlombongan iaitu kapal korek yang mengeluarkan bijih timah dalam kuantiti yang banyak. Ekonomi tradisional penduduk peribumi yang bergantung kepada kawasan sungai sebagai alat pengangkutan telah terpinggir dengan pembinaan jalan raya dan kereta api. Pelabuhan tradisi negara-negara Asia Tenggara yang berpusat di muara sungai juga turut terpinggir akibat pertumbuhan bandar baru yang kemudiannya menjadi nadi penggerak kepada pembangunan ekonomi penjajah.

Wujud dua jenis ekonomi, ekonomi moden yang berorientasikan eksport dan ekonomi tradisional yang dijalankan untuk tujuan sara diri. Ekonomi moden dikuasai oleh imperialisme Barat manakala penduduk tempatan menjalankan ekonomi sara diri. Perkembangan ekonomi berdasarkan sistem matawang telah menyebabkan wujud jurang perbezaan antara sistem ekonomi tersebut. Pemerasan ekonomi yang dilakukan oleh imperialisme Barat ke atas masyarakat Asia Tenggara menyebabkan timbul keinginan masyarakat peribumi untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajah. Penentangan dan kebangkitan masyarakat peribumi menentang penindasan politik, ekonomi, dan sosial yang dilakukan oleh imperialisme Barat dinamakan sebagai nasionalisme.

Sosial

Pendidikan Barat telah diperkenalkan oleh kuasa Imperialisme ke atas negara yang dijajah tetapi terhad kepada kawasan di bandar sahaja. Pendidikan Barat ini bertujuan menyediakan golongan pentadbir bawahan bagi mengisi jawatan rendah seperti kerani, juru kira, juru ukur dan juru teknik dalam sistem birokrasi moden yang diperkenalkan oleh kuasa Barat. Pengajarannya menggunakan bahasa penjajah sebagai bahasa pengantaraan. Sekolah-sekolah mubaligh Kristian telah ditubuhkan bagi menyebarkan agama Kristian dikalangan penduduk peribumi di samping membenarkan sekolah jenis venikular berkembang.

Mereka yang mendapat pendidikan peluang masa hadapan yang lebih cerah dalam bidang kerjaya, tetapi bagi mereka yang mendapat pendidikan di sekolah-sekolah vernikular sukar mendapat pekerjaan. Sesetengah golongan rakyat tempatan pula terpengaruh dengan fikiran, budaya dan sikap orang putih sehingga mendewa-dewakan "orang putih" dan tamadun Barat. Kepincangan dalam sistem pendidikan ini telah memaksa kerajaan peribumi memperbaikinya selepas mencapai kemerdekaan. Pekembangan pesat ekonomi berorientasikan eksport telah menyebabkan buruh-buruh asing telah dibawa dari pelbagai negara bagi memenuhi keperluan tenaga buruh. Kedudukan buruh asing pula telah mengubah komposisi kaum di Asia Tenggara sehingga mewujudkan jurang yang ketara dengan penduduk peribumi akibat perbezaan agama, bahasa, budaya, dan adat. Dasar ini diburukkan lagi oleh kuasa Barat yang menjalankan dasar pecah dan perintah yang menghalang wujudnya perpaduan kaum

Kesimpulannya, orang Eropah memang suka berperang dan gemar menjadikannya sesuatu itu miliknya. Tidak ada setahun berlalu dalam sejarah mereka tanpa mereka berlawan, tanpa mereka berperang. Keamanan tidak bermakna tidak berlawan, hanya tiada perang yang rasmi. Dan oleh itu hari ini sekali lagi mereka berbelanja wang demi keupayaan peperangan mereka hanya untuk berada dalam keadaan sedia dan untuk menggerunkan orang lain. Sekali-sekala mereka akan melontar bom dan peluru untuk memuaskan naluri perang mereka

Tekan butang di bawah dan beri pendapat anda dalam forum padlet yang telah disediakan.

Gambar-gambar yang berkaitan dengan kolonialisme di Tanah Melayu
Created By
Vijay seelan
Appreciate

Made with Adobe Slate

Make your words and images move.

Get Slate

Report Abuse

If you feel that this video content violates the Adobe Terms of Use, you may report this content by filling out this quick form.

To report a Copyright Violation, please follow Section 17 in the Terms of Use.