Ekspedisi Pulau Penyengat 2017

SATU - Barang siapa tiada memegang agama, Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama. Barang siapa mengenal yang empat, Maka ia itulah orang yang ma’rifat. Barang siapa mengenal Allah, Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah. Barang siapa mengenal diri, Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri. Barang siapa mengenal dunia, Tahulah ia barang yang terperdaya. Barang siapa mengenal akhirat, Tahulah ia dunia mudarat.
Sudah lama hatiku terbetik untuk melihat-lihat sebuah pulau yang aku sering dengar kedaulatannya. Aku juga tahu tentang wujudnya pujangga terkenal, iaitu Raja Ali Haji. Namanya mekar bersinonim dengan pulau yang bersejarah ini. Pusaranya bersemadi di sini. Menurut sejarah, pulau ini juga dikenali sebagai pulau mas kahwin. Dahulu, terletak sebuah kerajaan menjadi kebanggaan masyarakat Bugis. Susur galur masyarakat Bugis bermula dengan penggembaraan lima bersaudara Bugis (Daeng). Sehingga Daeng Celak diangkat menjadi raja.
salah satu sudut pulau penyengat - berdekatan dengan istana lama kerajaan melayu riau
Masjid Sultan Riau ini telah didirikan semasa pemerintahan Yang Dipertuan Muda VII Raja Abdurrahman (Marhum Kampung Bulang) tahun 1832. Bangunan utama masjid ini berukuran 18 x 20 meter yang telah diiringi oleh empat buah menara. Terdapat 13 buah kubah yang berbentuk seperti bawang. Perkara yang istimewa ialah jumlah keseluruhan kubah dan menara di Masjid Sultan Riau sebanyak 17 buah. Hal ini melambangkan jumlah rakaat solat fardhu lima waktu sehari semalam.
Pulau dengan ukuran sepanjang 2 x 1 kilometer, terletak di sebelah barat Tanjung Pinang. Pulau bersejarah ini memiliki banyak peninggalan yang berkaitan dengan perjalanan sejarah Kerajaan Riau. Pulau Penyengat mula menampakkan ia sebagai mengandungi nilai penting pada tahun 1719. Ketika itu Raja Kecil berperang melawan Tengku Sulaiman. Raja Kecil menjadikan pulau itu sebagai kubu pertahanannya daripada serangan Tengku Sulaiman, iaitu berasal dari Hulu Riau, yang dibantu oleh lima bangsawan Bugis. Salah seorang bangsawan Bugis yang menjadi raja ialah Daeng Chelak. Daeng Chelak ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Muda dan mengahwini kerabat kesultanan Melayu 'Tengku Mandak'. Hasilnya, terjadilah sebuah keluarga keturunan bangsawan Bugis Melayu.
Kemudian, pulau ini menjadi lebih tersohor ketika Yang Dipertuan Muda Riau IV Raja Haji membangun beberapa benteng pertahanan, iaitu yang paling terkenal ialah Benteng Bukit Kursi. Benteng ini dibangunkan untuk menghadapi perang melawan Belanda. Peperangan itu terjadi pada tahun 1782 hingga 1784. Pada tahun 1803, setelah penikahan Sultan Mahmud dengan Engku Puteri, Raja Hamidah binti Raja Haji, Pulau Penyengat dijadikan tempat tinggal dan dikenal dengan nama Pulau Penyengat Indera Sakti atau Pulau Maskawin.
Raja Ali Haji dilahirkan pada tahun 1809 di Pulau Penyengat, di sebuah pulau yang terletak di Kepulauan Riau. Beliau adalah keturunan keluarga diraja Bugis dan Melayu yang berkuasa di dalam kerajaan Johor. Raja Ali Haji adalah cucu Yang Di Pertuan Muda (YDPM) Raja Haji, Marhum Teluk Ketapang. Sekiranya ditinjau kepada susur galur keturunan beliau, akan sampailah kepada Opu Daeng Chelak, iaitu salah seorang daripada Opu-Opu Bugis lima bersaudara yang terdiri daripada Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Kemasi, Daeng Menambun dan Daeng Chelak sendiri. Raja Ali Haji dibesarkan di dalam keluarga istana dan banyak mengisi masanya dengan menulis. Beliau juga diberi didikan agama seperti membaca Al-Quran, Fardhu ‘Ain dan Usuluddin. Apabila dewasa, beliau telah menjawat beberapa jawatan penting di dalam kerajaan Johor. Berdasarkan latar belakang ini, Raja Ali Haji berjaya menghasilkan karya-karya yang disegani
Menurut R.O. Winstedt. Tuhfat al-Nafis dapat dianggap sebagai sebuah magnum opus yang terbesar selepas Sejarah Melayu bagi mengkaji sejarah negeri Johor dan Riau. Menurut Virginia Matheson, pada tahun 1967 telah ditemui satu nota di dalam Tuhfat versi Maxwell yang mencatatkan naskhah ini telah dimulakan oleh Raja Haji Ahmad yang meninggal dunia di Riau ketika berumur 103 tahun. Kemudian usaha ini diteruskan dan diselesaikan oleh anaknya Raja Ali Haji yang meninggal dunia semasa berumur 78 tahun.
Gurindam merupakan puisi trasidional yang terdapat dalam masyarakat Melayu. Gurindam yang terkenal adalah Gurindam Dua Belas yang dikarang oleh Raja Ali Haji (1809-1872). Dinamakan Gurindam Dua Belas kerana memiliki dua belas pasal. Gurindam Dua Belas memiliki keistimewaan, iaitu sebuah karya sastera yang mampu berdiri dengan sendiri. Raja Ali Haji menyebutkan erti gurindam tersebut sebagai manfaat kepada masyarakat umum. yang memerlukan panduan di dalam melaksanakan kehidupan seharian mereka.

Saujana memandang udara yang teramat segar. Kawasan di luar Balai Adat Melayu di Pulau Penyengat.

Bahagian dalam Balai Adat Melayu

Bergambar bersama-sama, pasangan Bapa dan Ibu Gabenor Kepulauan Riau (KEPRI)

Bahagian dalam Istana Kantor
Terima kasih kepada Ibu Gabenor Kepulauan Riau (KEPRI) Hajjah Noorlizah Nurdin, yang sudi menjadi hos walaupun atur cara pada hari itu padat dan sibuk. Kami berasa sangat bertuah kerana disaji dengan pelbagai makanan daripada masyarakat Bugis.
Ini Gurindam pasal yang kedua belas:

Raja mufakat dengan menteri, Seperti kebun berpagarkan duri. Betul hati kepada raja, Tanda jadi sebarang kerja. Hukum ‘adil atas rakyat, Tanda raja beroleh ‘inayat. Kasihkan orang yang berilmu, Tanda rahmat atas dirimu. Hormat akan orang yang pandai, Tanda mengenal kasa dan cindai. Ingatkan dirinya mati, Itulah asal berbuat bakti. Akhirat itu terlalu nyata, Kepada hati yang tidak buta.

Tamatlah Gurindam yang duabelas pasal yaitu karangan kita Raja Ali Haji pada tahun Hijrah Nabi kita seribu dua ratus enam puluh tiga likur hari bulan Rajab Selasa jam pukul lima, Negeri Riau, Pulau Penyengat.
Terima kasih
Created By
Farizan M Amin
Appreciate

Credits:

Keluarga Ibu Gabenor KEPRI - Hajjah Noorlizah Nurdin & Raja Hamzah Raja Zulkifli serta kerabat yang membantu segala urusan di Pulau Penyengat

Report Abuse

If you feel that this video content violates the Adobe Terms of Use, you may report this content by filling out this quick form.

To report a Copyright Violation, please follow Section 17 in the Terms of Use.