Mataku Saksinya Peleraian suatu jenayaH

Lesu badanku akibat terlalu tertumpu pada tugasan yang kian bertindan di atas mejaku. Urat kedua-dua mataku turut tegang. Rasanya tidak berdaya lagi untuk melangsaikan kesemua tanggungjawabku buat hari ini. Aku menyusun langkahku dengan lemah gemalai ke arah tingkap bilik. Aku melemparkan pandanganku ke luar tingkap, dengan harapan pemandangan luar dapat menenangkan jiwaku yang semakin tertekan ini. Pada masa yang sama, moga-moga hijau-hijauan yang tertanam untuk menyegarkan udara dapat mengembalikan kesegaran pada mataku yang kuyu ini. Tanpa aku sedari, debaran demi debaran mengisi ruang dadaku.

Pandanganku terpaku pada wanita dalam lingkungan 30-an yang memakai jenama di keseluruhan tubuhnya. Susunan langkahnya ditemani irama ketukan dari kasut bertumit tingginya itu seakan seiiringan dengan cengkerik yang berdiam di pohon-pohon yang melambai kehadiran mereka. Wangi-wangiannya yang mengusik reroma hidung kian meleret, menjejaki arah yang dilaluinya itu. Sememangnya ciri-ciri kewanitaannya yang menyerlah telah memancing perhatian para jejaka dewasa yang giat bermain bola keranjang di gelanggang tersebut. Fikiranku menderas laju dalam tatkala bunga-bunga kebimbangan mula menguntum memikirkan keselamatannya. Akankah ia terancam dengan pemakaian berjenama, seksi dan gerak-geri yang menggiurkan naluri lelaki? Bulu roma di tengkukku sudah mula meremang dari hujung ke hujung tatkala memikirkan kemungkinan-kemungkinan perkara yang boleh terjadi. Tanpa disedari, gerak mataku beralih pada jejaka dewasa yang berseragam sukan dikuyupi peluh dan berkaca mata hitam. Berkaca mata apabila kepekatan malam membungkus suasana? Hayunan langkahnya mengekori wanita tersebut. Memang telah terjalinkah perhubungan mereka? Anak mata lelaki tersebut merayau-rayau persekitarannya. Sejenak itu juga, sekumpulan lelaki yang tadinya sedang asyik dan aktif bermain bola keranjang, kini telah berhenti dan mengangguk-angguk ke arah jejaka berkaca mata hitam itu.

Lelaki tersebut sedang menikmati rokok yang siap terduduk di antara bibirnya. Matanya mengekori jejak langkah wanita berbeg merah jambu tersebut. Beg tangan yang disasarkan itu masih tetap dipeluk erat. Dari ekor mata terlihat seorang remaja sedang menyusun langkah ke arahnya dengan bola keranjang dalam genggamannya. Untuk memastikan rancangannya tidak menjadi sia-sia, lelaki berokok itu mengacukan pisau penanya ke arah wanita tersebut. Tanpa disangka-sangka, terasa hentakan bola yang kuat di belakangnya.

Malang tidak berbau. Kejahatan dibalas dengan kejahatan. Pisau pena yang berada dalam genggamannya kini tertusuk di ulu hatinya. Darah mengalir tidak terhingga. Wanita yang menjadi mangsa turut terpekikan seraya menghulurkan bantuan kepada lelaki itu. Puntung rokoknya mula gugur ke tanah.

Kesejukan bilik ini mencengkam tulang-temulangku. Kini aku terperap antara empat dinding dan pagar yang menyokong lelangit dan bumi. Ada kerak, adalah nasi. Aku pasti setiap perbuatan pasti ada kesannya. Tidak aku sangka cabaranku kepadanya telah meragut nyawanya sendiri. Sesungguhnya kalau aku tidak mementingkan diri sendiri. Sesungguhnya kalau aku anggap kawan sebagai sahabat. Sesungguhnya kalau minda menguasai egoku.

Created By
Iryantee Jaffar
Appreciate

Credits:

Created with images by LoganArt - "eyes woman fashion" • Cristiano Betta - "Flats" • illustir - "UX Pile" • fsecart - "prison wall"

Report Abuse

If you feel that this video content violates the Adobe Terms of Use, you may report this content by filling out this quick form.

To report a Copyright Violation, please follow Section 17 in the Terms of Use.